2 DIS: Kerajaan akan mempertimbangkan projek bekalan air luar bandar mengikut senarai keutamaan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi projek baharu bekalan air di perkampungan Orang Asli pada 2022 diperuntukan sebanyak RM39 juta dan RM5 juta diperuntukan di Pahang.
“Bekalan air luar bandar di Perkampungan Pantus bernilai RM2.24 juta akan memanfaatkan 60 buah rumah,” katanya menjawab pertanyaan Ramli Mohd Nor (BN- Cameron Highlands) pada sesi penggulungan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Tambahnya, kerajaan turut menyediakan bantuan khusus tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM6.5 juta bagi projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Orang Asli melibatkan 48 binaan rumah baharu dan 237 unit baik pulih.
Jelasnya daripada 853 perkampungan Orang Asli di seluruh Semenanjung yang diiktiraf hanya 147 buah masih tidak menerima bekalan elektrik.
“Di Pahang daripada 264 perkampungan Orang Asli hanya terdapat 61 buah yang tiada bekalan elektrik.
“Di Cameron Highlands pula, Kampung Orang Asli yang tidak mendapat bekalan elektrik adalah sebanyak 42 buah,” katanya yang memberitahu KPLB dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang berusaha melaksanakannya segera berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Mahdzir berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pertubuha bukan kerajaan (NGO) juga telah melakukan beberapa perbincangan bagi bekalan alternatif iaitu tenaga solar dan membangunkan mini hidro di perkampungan Orang Asli.
“Ia sedang diusahakan dan bakal dilaksanakan di POS Lenjang, Letoi, Lemoi dan beberapa perkampungan di POS Senderut.
“Selain itu, peruntukan sebanyak RM95,000 akan dibelanjakan bagi melaksanakan dua projek pembekalan elektrik di Pahang iaitu pemasangan meter elektrik di Kampung Gerigeh, Bera bernilai RM50,000 dan Sungai Dua, Bentong sebanyak RM45,000,” katanya.