3 DIS : Ekoran sebanyak 135 lagi kes positif COVID-19 baharu dikesan, Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarah tutup buat sementara waktu bagi mengekang penularan virus serta pelaksanaan disinfeksi sekolah berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, jangkitan berkenaan berlaku membabitkan warga sekolah berkenaan.
Jelasnya, penutupan sekolah berkenaan dilakukan dibawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Arahan menutup sekolah tersebu adalah bertujuan melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi. Satu sesi taklimat dan penerangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan turut diadakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal.
“Kluster ini dikenali sebagai Kluster Persiaran Tasik dan hingga semalam seramai 973 warga sekolah sudah disaring, daripada jumlah itu terdapat 135 kes baharu dikesan.
“Ini menjadikan keseluruhan kes COVID-19 dalam kluster ini seramai 143 individu iaitu 114 murid, 19 guru dan 10 kakitangan; dengan kadar serangan 14.7 peratus,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini,
Tambahnya lagi, daripada 143 kes yang positif COVID-19, seramai 106 kes dalam kategori Satu dengan 35 kes yang lain adalah dalam kategori 2A dan dua kes dalam kategori 2B (masing-masing seorang guru dan seorang murid).
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan seramai 73 individu dilaporkan positif COVID-19 membabitkan dua guru dan 71 murid.
Dr Noor Hisham sementara itu berkata, pihaknya turut mengesan seramai 700 kontak rapat iaitu 603 murid, 59 guru, dan 38 kakitangan.
“Kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia manakala kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya.