3 DIS : Seramai 24 muka baharu termasuk seorang calon wanita akan ditampilkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 12 yang akan berlangsung pada 18 Disember ini.
Menurut Ketua Menteri, Abang Johari Openg berkata, GPS memperkenalkan tema “Sarawak First” dengan mengetengahkan muka baharu berusia antara 30-an hingga 40-an.
Katanya lagi, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mereka yang dipilih kali ini akan dilatih dan didedahkan kepada politik ala Sarawak.
“Tema “Sarawak First” ini memperlihatkan politik Sarawak yang memperjuangkan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan.
“Keduanya, landskap politik di sini hanya orang Sarawak sahaja yang tahu dan oleh sebab itu GPS menggunakan tema tersebut. Selain itu, ialah penerapan wawasan ekonomi baharu berteraskan digital ekonomi dan pengekalan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan watikah kepada calon GPS PRN ke-12 di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Jalan Bako, Kuching.
GPS juga menurutnya, memberi pendedahan kepada orang muda kerana mereka mempunyai cara tersendiri.
Kerana itu katanya lagi, daripada senarai keseluruhan, GPS mempunyai calon berusia 30 tahun, manakala calon wanita dalam lingkungan 32 hingga 33 tahun.
“Inilah GPS, apabila kita bercakap, kita buat. Orang muda mempunyai latar belakang berlainan yang boleh membawa kesinambungan untuk Sarawak,” katanya sambil memaklumkan kali pertama bertanding atas lambang GPS.
Manakala berhubung manifesto GPS pula, Abang Johari memberitahu ia akan diumumkan pada 8 Disember ini.