3 DIS: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan lawatan rasmi ke China selama dua hari bermula hari ini atas undangan Menteri Luar China yang juga Ahli Dewan Negara, Wang Yi.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sempena lawatan itu, kedua-dua menteri akan mempengerusikan bersama mesyuarat sulung Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Kerjasama Pasca Era COVID-19 yang ditubuhkan secara rasmi pada April lalu.
“Lawatan ini menandakan hubungan erat serta kesediaan Malaysia dan China untuk mempelopori usaha pemulihan serta mempromosikan pertumbuhan dan kemakmuran kedua-dua negara selepas kesan buruk wabak COVID-19,” katanya.
Mesyuarat berkenaan akan diadakan dalam format hibrid.
Mesyuarat JPT itu adalah satu mekanisme dua hala pada peringkat Menteri, dan kedua-dua Menteri Luar akan membincangkan pelbagai kerjasama bagi mengukuhkan lagi hubungan Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia-China.
Antara bidang akan dibincangkan ialah perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, ekonomi digital, komoditi dan perniagaan pertanian, diplomasi kesihatan, diplomasi budaya, pendidikan serta pelancongan.
Kedua-dua menteri itu juga akan bertukar pandangan mengenai hal ehwal perkembangan serantau dan antarabangsa.
Lawatan rasmi itu akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ketat sebagaimana dipersetujui kedua-dua negara.