3 DIS : Parti Keadilan Rakyat hari ini mengumumkan 27 calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang akan berlansung pada 18 Disember ini.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Joshua Jabeng berkata, pengumuman hanya 27 calon itu adalah berdasarkan keputusan PKR untuk bertanding di kerusi yang hanya mempunyai peluang kemenangan yang tinggi setelah membuat kajian terperinci.
Katanya, rasional di sebalik pemilihan 27 calon tersebut di mana PKR bukan hanya semata-mata masuk bertanding, tetapi apa yang lebih penting PKR perlu menang di semua kerusi yang ditandinginya.
“Justeru itu, kerana kita hanya fokus kepada kemenangan, maka kita pilih kerusi yang kita yakin boleh menang. Selain itu, di mana ada parti DAP bertanding, PKR tidak akan bertanding bagi mengelakkan pertindihan. Itu adalah prinsip serta semangat kami dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media pengumuman nama calon parti itu di ibu pejabat PKR Sarawak di sini.
Antara nama yang diumumkan adalah Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abg Zulkifli Abg Engkeh bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro dan Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Joshua Jabeng di DUN Kakus.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh semalam berkata, PKR akan bertanding di 49 daripada 82 kerusi pada PRN ke-12 itu.
Bagaimanapun, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Dominique Ng berkata, kali ini PKR bertindak rasional dengan tidak meletakkan calonnya di kerusi yang tidak mempunyai harapan untuk menang.
“Sebenarnya, 49 kerusi yang kami nyatakan sebelum ini adalah kerusi yang diberi tumpuan, namun kami lebih menumpukan perhatian di kerusi boleh menang daripada meletakkan calon di kawasan yang kami langsung tiada peluang.
“Situasi politik sekarang agak berbeza kerana banyak parti lain, jadi kami memutuskan untuk mengurangkan kerusi kerana kami perlu realistik dalam jangkaan kami.Sebab itu, kami lebih suka membuat pengurangan drastik,” tegasnya.
Dominique berkata, PKR mungkin akan membuat perubahan di saat akhir dan berkemungkinan akan menambah lagi calon-calon yang bertanding.
“Ini adalah senarai 27 yang kita boleh umumkan dan akan ada satu atau dua kerusi lagi, berkemungkinan akan diputuskan di saat akhir.Tetapi sudah tentu tiada pertembungan dengan DAP, kerana kami bertanding dalam PH yang sama,” ujarnya.