3 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuka sebanyak 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 mulai jam 9 pagi Isnin ini.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, kertas penamaan calon boleh dikemukakan sehingga pukul 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
“Hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC.
“Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya lagi, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.
“Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.
“Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran,” katanya.
Ikmalrudin turut mengingatkan bahawa aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.