4 DIS : Kerajaan telah menetapkan harga maksimum ayam pada kadar RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi, berkuat kuasa Selasa depan.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, harga itu ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang kali pertama diadakan.
“Ia akan berkuat kuasa selama 25 hari bermula Selasa ini sehingga 31 Disember akan datang bertujuan untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang keperluan.
“Harga ayam standard di Langkawi ditetapkan RM9.80 sekilogram (runcit) dan RM8.50 sekilogram (borong) dan bagi Wilayah Persekutuan Labuan pula, harga ayam standard ditetapkan RM11 sekilogram (runcit) dan RM10 sekilogram (borong).
“Harga ayam standard adalah berbeza mengikut kawasan dan di Sabah serta Sarawak, kita menetapkannya antara RM9.30 hingga RM12.40 bagi pembelian runcit, dan RM8.10 hingga RM11.20 (borong),” katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Keluarga Malaysia hari ini.
Selain ayam standard, Rosol menjelaskan ada 11 jenis barang lagi yang dimasukkan bawah skim ini, seperti ayam hidup, telur ayam Gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import serta timun.
Katanya, sebagaimana ayam standard, harga kawalan bagi 11 barang lain terbabit juga adalah berbeza mengikut kawasan, dengan penetapan dibuat berdasarkan kesesuaian harga pasaran.
“Ia mengambil kira pelbagai faktor perubahan harga, terutama bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan sebagainya,”
“Senarai barangan terbabit akan dikaji secara berterusan, termasuk ditambah atau digugur berdasarkan penilaian situasi pasaran,” katanya lagi.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu menjelaskan, SHMKM adalah berbeza dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang diadakan setiap tahun dengan pelaksanaannya diharapkan mampu menstabilkan harga barangan asas dalam pasaran.
“Semua pihak dalam seluruh rantaian bekalan membabitkan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual, akan dikenakan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi skim ini.
“Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi skim ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.