4 DIS : Pihak berkuasa Myanmar didakwa sengaja mengepung dan menggunakan kekerasan untuk membunuh orang awam yang mendesak kerajaan Aung San Suu Kyi dipilih semula, selepas rampasan kuasa oleh junta pada 1 Februari lalu.
Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan (HRW) yang mengeluarkan laporan berkata, askar dan polis bersenjatakan senapang melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang terkepung dan mereka cuba membantu penunjuk perasaan yang cedera.
Tindakan ganas junta Myanmar itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 65 penunjuk perasaan terbunuh dalam kejadian yang berlaku di kawasan kejiranan di Hlaing Tharyar di Yangon.
Penemuan itu berdasarkan temu bual bersama enam saksi dan analisis 13 video dan 31 gambar mengenai keganasan yang dimuat-naik di laman sosial.
Rakaman yang dianalisis HRW termasuklah satu video TikTok yang dimuat-naik oleh seorang pegawai polis, iaitu mengenai pembincangan pengunaan jenis senjata yang berbunyi “saya tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada orang-orang ini”.
Pada waktu subuh 14 Mac lalu, penunjuk perasaan yang bergerak melalui jalan utama Yangon, Hlaing River Road untuk protes duduk, dipaksa untuk bersurai oleh pihak berkuasa yang datang pada jam 10 pagi.
HRW mendakwa pihak tentera ‘mengepung’ penunjuk perasaan di antara 12.00 tengah hari hingga 12.40 tengah hari berdasarkan analisis dua video dan imej satelit,
Seorang penunjuk perasaan yang dikenali sebagai ‘Zaw Zaw’ berkata, pihak berkuasa itu mula menembak gas pemedih mata dan peluruh getah, seterusnya melepaskan tembakan secara langsung dengan menggunakan peluru hidup.
HRW berkata, pihaknya mengesahkan saksi dengan video yang menunjukkan pasukan keselamatan menghalang laluan keluar penunjuk perasaan dan dengan sengaja menyerang mereka serta pekerja kesihatan yang cuba membantu mereka yang cedera.