4 DIS : Pemimpin masyarakat setempat di Sarawak bertanggungjawab untuk memastikan kerajaan sedia ada terus kekal bagi memudahkan segala pelaksanaan pembangunan yang telah dirancang kerajaan pusat di negeri tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemimpin masyarakat setempat boleh dianggap sebagai barisan hadapan dalam mempertahankan kerajaan sedia ada ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke 12 yang akan berlangsung pada 18 Disember ini.
Katanya lagi, selaku ketua kampung, pengerusi JKKK atau pemimpin setempat, mereka adalah sebahagian daripada kerajaan dalam pelaksanaan pembangunan di tempat masing-masing.
“Saya masih ingat dulu ketika bertugas sebagai Menteri Luar Bandar, saya memang kerap bertemu dan berjumpa dengan pemimpin masyarakat setempat. Kita nak kerajaan ini terus kekal.
“Bukan sahaja memastikan segala projek kerajaan berjalan lancar tetapi juga memastikan kerajaan ini kekal bagi melancarkan segala pelaksanaan pembangunan di negeri ini,” ujarnya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Bersama Pemimpin anjuran Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Haji Openg yang turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pemimpin masyarakat setempat.
Katanya lagi, banyak projek pembangunan yang dirancang di Sarawak seperti pembesaran lapangan terbang Mukah ke Kapit, Song Kanuit dan Sibu sudah pun siap. Saya juga merasmikan jambatan baharu siap, Twin Bridge dan Kapit Twin Bridge.
‘Dengan kos sebanyak 150 juta, saya percaya Kapit boleh dibangunkan dengan begitu cepat. Saya pernah ke Kapit pada tahun 2010, naik express bot. Singgah di Song untuk makan tengahari. Dua jam perjalanan, habis satu filem.
“Ahli Parlimen Kapit memaklumkan kepada saya sukar kalau ada kecemasan selepas pukul tiga kerana sudah bot terakhir. Kalau yang berduit bolehlah sewa bot, tapi kalau yang tidak berduit kenalah tunggu esok.
“Jadi saya terus berbincang dengan Ahli Parlimen Kapit, YB Alex agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera bagi mempermudahkan urusan rakyat.
“Ini contoh macam mana kerajaan negeri dan kerajaan yang sedia ada memberikan yang sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan di Sarawak,” ujarnya.
Justeru, Ismail Sabri menegaskan, pembangunan demi pembangunan boleh dilakukan kerana faktor hubungan akrab antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
“Saya tidak boleh bayangkan kesukaran untuk melaksanakan sesuatu projek itu sekiranya tampuk pemerintahan negeri yang sedia ada bertukar pada PRN kali ini,” ujarnya.