4 DIS : Sistem parti politik dominan seperti yang berlaku pada era pentadbiran BN sebelum tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 hanya akan memberi kesan buruk, di mana salah guna kuasa dan rasuah berlaku begitu berleluasa berikutan ketiadaan prinsip semak dan imbang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin hari ini berkata, sistem politik dominan seperti ini dilihat mampu mewujudkan kestabilan politik pada awalnya dan dianggap berkesan untuk memacu pembangunan negara yang pesat.
“Namun, lama kelamaan kuasa politik yang dominan semakin berpusat kepada individu yang memimpin parti dan kerajaan. Ahli-ahli parti akur dengan setiap keputusan dan tindakan pemimpin parti walaupun ia tidak semestinya betul.
“Malah, penyelewengan dan pelanggaran undang-undang oleh pemimpin parti juga sering berlaku namun dipandang sepi oleh pimpinan parti yang lain, kerana takut tersingkir daripada parti yang berkuasa dominan dalam kerajaan. Tidak ramai yang mahu mengambil risiko untuk menyatakan perkara yang betul dan benar,” tegasnya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap bersempena perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan ke-50 hari ini.
Katanya lagi, ada pihak yang turut sama melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa kerana beranggapan mereka akan dilindungi selagi mana menyokong pemimpin parti yang mendominasi kerajaan.
“Mereka fikir mereka boleh terlepas dan tidak akan dihukum. Kesannya, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah terus berlaku dengan berleluasa dan dihalalkan oleh pengikut parti,” ujarnya.
Menurut Muhyiddin, sistem parti dominan runtuh pada 2018 apabila BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan menyebabkan parti-parti politik terpaksa bekerjasama untuk membentuk kerajaan.
Sebagai parti yang mendukung prinsip integiriti, Muhyiddin menegaskan PN meletakkan syarat yang tegas bahawa sokongan kepada kerajaan pada hari ini adalah tertakluk kepada kepatuhan kerajaan terhadap prinsip dan nilai initegriti.
“Prinsip dan Intergriti itu termasuklah syarat untuk terus menentang rasuah dan salah guna kuasa serta tidak sekali-kali mencampuri urusan mahkamah semata-mata untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.
“Kerajaan juga tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan kleptokrat demi kepentingan diri mereka sendiri,” katanya.
Muhyiddin turut menegaskan bahawa PN mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan sokongan kepada kerajaan selagi mana prinsip ini dipatuhi dan kumpulan ‘kleptokrat’ tidak kembali berkuasa.
“Jika ini berlaku, kita mesti memutuskan perkara yang paling bermaruah untuk dilakukan dan ini termasuk mengembalikan mandat kepada rakyat apabila tiba masanya,” katanya.