5 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang meninggal dunia, semalam.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Sabbaruddin dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.
Selain memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dari 1987 hingga 1996 semasa hayatnya, Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Parlimen Temerloh bagi tempoh 1982 hingga 1999.
Allahyarham juga seorang yang amat arif dan berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan dunia korporat.