5 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya membenarkan lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak untuk rentas negeri dan turun berkempen.
Hal itu dinyatakan dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Sarawak yang dikeluarkan SPR hari ini.
“Rentas negeri tidak dibenarkan untuk tujuan berkempen sepanjang tempoh pilihan raya kecuali lima orang pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.
“Nama-nama pemimpin tertinggi parti hendaklah dikemukakan kepada JPBN Sarawak.
“Kemasukan ke Sarawak adalah tertakluk kepada SOP yang sedang berkuat kuasa dan dihadkan kepada aktiviti yang diluluskan dalam permohonan enterSarawak,” katanya.
SPR juga menetapkan mesyuarat parti tidak lebih empat kali seminggu, dengan setiap mesyuarat tidak boleh lebih dua jam dan dihadiri individu lengkap vaksinasi dan tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan penjarakan fizikal.
“Bagi sebarang acara di premis yang berkaitan dengan PRN, SPR menetapkan jarak dua meter antara meja dan jarak sekurang-kurangnya satu meter antara hadirin.
“Semua yang hadir di acara tersebut tidak dibenarkan bersentuhan atau bersalaman, selain perlu memakai pelitup muka sepanjang masa,” kata SPR.
Mesyuarat parti ditakrifkan sebagai kegiatan mesyuarat dengan susun atur tempat untuk mengadakannya, bukan sesi taklimat, ceramah atau sebarang bentuk kempen fizikal.
“Sidang media selepas mesyuarat parti dibenarkan dengan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.
Kehadiran dalam sidang media terhad bagi individu yang hadir semasa mesyuarat sahaja dan wartawan. Hanya mereka yang telah lengkap menerima vaksin dibenarkan hadir,” kata SPR lagi.