5 DIS: PAS mengesahkan hanya bertanding satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu mencalonkan seorang usahawan, Mohammad Arifiriazul Paijo yang juga Setiausaha PAS Negeri Sarawak.
Katanya, keputusan itu mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19 yang mengehadkan kempen pilihan raya selain bagi memberi fokus kepada usaha menangani pandemik itu dan pemulihan ekonomi.
“Kita juga mengambil kira hubungan peringkat pusat yang melibatkan pelbagai parti termasuk GPS, maka PAS pusat memutuskan untuk meletakkan satu calon iaitu di DUN Beting Maro,” katanya dalam sidang akhbar, di Kuching malam tadi.
Tuan Ibrahim, berkata tindakan PAS yang tetap mengambil bahagian dalam PRN Sarawak diyakini tidak akan mengundang masalah dalam aspek kerjasama dengan GPS di peringkat Pusat.
“Saya fikir masing-masing saling hormat-menghormati, walaupun akan melawan GPS, tiada masalah dari segi kerjasama di peringkat Pusat.
“Kita tak maklumkan (terlebih dahulu) kepada parti lain, kita hormati setiap parti dan PAS buat keputusan dalam konteks parti (sendiri),” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim, berkata penyertaan PAS dalam PRN kali ini tidak boleh disamakan dengan PRN 2016 di mana parti itu bertanding di 11 kerusi kerana keadaan semasa adalah berbeza.
PAS mula bertanding di DUN Beting Maro pada PRN Sarawak 2001 dan mencatatkan peningkatan undi dalam setiap pilihan raya.
Pada PRN 2016, parti itu kalah dengan majoriti 1,707 undi selepas meraih 3,051 undi.