5 DIS: Telekom Malaysia Bhd (TM) mengesahkan akan menjalankan ujian 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk mengoptimumkan perkhidmatan tersebut di negara ini.
TM dalam satu kenyataan berkata, pelancaran 5G itu akan meningkatkan lagi penciptaan nilai bagi pengguna, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, serta perniagaan korporat.
“Kami akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk menyediakan 5G bagi negara dan mempercepat lonjakan masyarakat, perniagaan dan industri ke arah Digital Malaysia,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, semasa ujian perintis, pelanggan pascabayar mudah alih Unifi dengan peranti 5G yang diperakui akan dapat merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan 5G di kawasan terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.
TM berkata, kesalinghubungan teknologi dan digital menjadi satu keperluan dalam ekosistem hari ini.
DNB, milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi membangunkan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara.
Jumaat lalu, DNB menyatakan akan melancarkan 10% liputan perkhidmatan 5G di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur akhir bulan ini, dengan 500 tapak secara kumulatif.
Bilangan ini akan ditingkatkan kepada 4,018 tapak atau 40% liputan di kawasan berpenduduk di Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak tahun depan.
DNB juga menyasarkan untuk mencapai liputan 80% di kawasan berpenduduk negara ini menjelang 2024 dengan 7,509 tapak.