6 DIS : Seramai enam lagi pelajar di Maktab Mahmud Sik disahkan positif Covid-19 hari ini membabitkan kluster institusi pendidikan yang dikenali sebagai kluster Dah Pelangi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, pertambahan enam pelajar itu menjadikan keseluruhannya terdapat 30 pelajar yang positif di sekolah tersebut.
“Setakat ini saringan terhadap 44 individu telah dijalankan pihak berwajib di mana 30 daripadanya didapati positif manakala 14 lagi negatif.
“Daripada jumlah itu, seorang pelajar masih berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kulim manakala yang lainnya menjalani menjalani kuarantin di asrama sekolah tersebut dengan dipantau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kluster Dah Pelangi diisytiharkan pada 3 Disember lalu setelah 24 pelajar sekolah tersebut disahkan positif Covid-19 selepas didapati mengalami gejala sejak 28 November lepas.