6 DIS: Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) menggariskan enam sasaran utama untuk dicapai menjelang 2030 menerusi tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuh KEGA itu terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan.
“Usaha ini adalah inisiatif kerajaan dalam membentuk kesaksamaan peluang dari segi ekonomi dan sosioekonomi dan seterusnya memperkasakan agenda bumiputera dinaungi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
“Walaupun bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini, iaitu seramai 20.9 juta atau 69.7 peratus, namun status sosioekonomi bumiputera masih di tahap yang memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.
“Sehingga hari ini, matlamat untuk mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti bumiputera tidak pernah tercapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan sebelum ini untuk menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika melancarkan TPB2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Enam Sasaran TPB2030 adalah Sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) Perusahaan Bumiputera sebanyak 20 peratus kepada KDNK bernilai RM438 bilion, Gaji Upah pada kadar RM5,169.12, Pendapatan Isi Rumah pada kadar RM18,402.68, Kadar Pulangan Aset Kewangan Per Kapita pada nilai RM4,495.65, Pekerja Mahir seramai 3,248,920 orang dan Pemilikan Kediaman sebanyak 4,758,469.
Ismail Sabri berkata, Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur, inklusif dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan Bumiputera minoriti
“Dalam menjayakan agenda Bumiputera, TERAJU dan agensi pelaksana lain mestilah memastikan tadbir urus yang tertinggi dipraktikkan dan kualiti piawaian diutamakan.
“TPB2030 mesti bermatlamat untuk melonjakkan kedudukan Bumiputera melalui merit dan daya saing. Tanpa
pembangunan kapasiti dan kemampuan Bumiputera, objektif besar kita tidak akan tercapai,” katanya.