6 DIS: Kerajaan akan melaksanakan pemasangan kamera di badan pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meningkatkan integriti dan menangani isu rasuah.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah berkata tindakan itu berikutan pegawai-pegawai JKDM sering dituduh terlibat dengan rasuah oleh masyarakat.
“Kita telah melakukan pelbagai tindakan dan pelan strategik bagi meningkatkan integriti pegawai-pegawai saya di peringkat JKDM.
“Kita juga akan laksanakan body one camera untuk meningkatkan integriti dan menyelamatkan pegawai-pegawai saya di JKDM yag selalu dituduh dengan rasuah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (DAP-Teluk Intan) di Parlimen hari ini.
Kor Ming mengajukan pertanyaan adakah faktor rasuah dan cukai eksais yang tinggi punca utama Malaysia menjadi syurga penyeludupan rokok dan arak.
Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, kerajaan sedar apa yang berlaku di lapangan berkaitan isu penyeludupan rokok dan arak.
Justeru, katanya, Kerajaan mengenakan tindakan tegas kepada penyeludup termasuk mengetatkan kawalan di pelabuhan negara supaya Malaysia tidak dilihat sebagai hab peyeludupan rokok haram.
“Ini termasuk mengehadkan aktiviti kemasukan rokok di pelabuhan-pelabuhan tertentu.
“Kita hanya benarkan lima pelabuhan iaitu Pelabuhan Port Klang (Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat), Pelabuhan Tanjung Pelepas (Johor), Pelabuhan Senari (Sarawak) dan Pelabuhan Sepanggar (Sabah),” jelasnya.
Langkah tegas itu, katanya, bagi mengurangkan hasil cukai akibat penyalahgunaan kedai bebas cukai yang sukar dikawal.