7 DIS: Seorang ahli bomba yang bertugas sebagai profesor di Havard antara 10 pelatih angkasawan baharu yang diumumkan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan NASA semalam.
Kesemua 10 pelatih angkasawan baharu semalam dipilih daripada lebih 12,000 pemohon bagi kemasukan tahun ini.
Turut diterima, bekas anggota pasukan pelumba basikal Amerika Syarikat (AS) dan juruterbang yang mengetuai formasi F-22 wanita dalam pertempuran.
Mereka yang berusia antara 32 hingga 45 tahun akan melaporkan diri di Pusat Angkasa Johnson di Texas pada Januari depan bagi menjalani latihan selama dua tahun.
Pentadbir NASA, Bill Nelson, berkata mereka akan belajar cara mengendali dan menyenggara Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dalam misi NASA untuk kembali ke bulan dan meneroka Marikh.
“Jika dinilai secara satu demi satu, calon memiliki kelebihan tersendiri, namun secara keseluruhan, mereka mewakili prinsip negara ini,” katanya pada majlis pengumuman pelatih baharu itu.
Mereka juga akan dilatih untuk berjalan di angkasa, kemahiran robotik, mengendali jet latihan T-38 dan mempelajari bahasa Russia untuk berkomunikasi dengan angkasawan negara itu.
Selepas tamat latihan, mereka boleh dihantar dalam misi ke ISS atau ke angkasa lepas, termasuk rancangan NASA untuk kembali ke bulan dalam dekad ini menerusi misi Artemis.
Misi ke bulan itu akan turut membabitkan wanita pertama dan individu bukan kulit putih pertama menjejakkan kaki ke bulan.
Bidang angkasawan itu terbuka kepada rakyat AS yang memiliki ijazah sarjana dalam STEM (Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik) iaitu kali pertama syarat itu dikenakan, selain lulus ujian dalam talian.
Syarat ijazah sarjana itu juga boleh dipenuhi bagi lulusan perubatan atau individu yang sudah melengkapkan program juruterbang ujian.
“Saya mula berminat menjadi angkasawan pafa usia yang amat muda,” kata Jessica Wittner, 38, seorang Leftenan komander tentera laut AS yang juga seorang juruterbang ujian dan jurutera aeroangkasa.
Turut terpilih ialah juruterbang jet pejuang, Nichole Ayers yang memiliki lebih 200 jam penerbangan tempur dan antara hanya beberapa wanita yang menerbangkan jet F-22.
Pada 2018, Ayers mengetuai formasi jet itu dalam pertempuran yang membabitkan semua juruterbang wanita.