7 DIS : PAS mengulangi pendirian bersedia untuk terus melakukan rundingan bersama pemimpin UMNO di mana ia adalah merupakan pilihan terbaik demi untuk memperkukuhkan perpaduan ummah.
Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, PAS masih menaruh harapan agar Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO akan dapat diteruskan.
Katanya, perbezaan pendapat yang berlaku ketika ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak duduk semeja dan berunding.
“PAS masih berlapang dada untuk mengadakan hubungan itu, kami minta kepada rakyat (ahli) yang ada untuk memujuk rakan daripada UMNO. Bagi menyelesaikan sebarang isu, kita perlu sama-sama duduk berbincang dan berunding kerana ia adalah pilihan terbaik daripada kita bergaduh,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jambatan Pulau Kekabu di Marang, Terengganu hari ini.
Semua pihak juga menurut Ahmad Samsuri perlu melihat agenda yang lebih besar dan tidak tertumpu kepada parti sahaja.
“Kita faham tidak dapat dipaksa tapi saya minta pada semua pihak terutama rakan-rakan UMNO untuk melihat agenda yang lebih besar,” katanya.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menafikan parti itu mungkir janji terhadap piagam dipersetujui menerusi MN hanya kerana menolak penyertaan BERSATU dalam gagasan itu.
Mohamad menjelaskan, MN tidak ditubuhkan dengan matlamat BERSATU mesti menjadi sebahagian daripadanya, sebaliknya MN diasaskan untuk menentang Pakatan Harapan (PH).
Kenyataan Mohamad itu hadir selepas Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa UMNO melanggar janji dalam MN selepas menolak penyertaan BERSATU ke dalam MN.