7 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) hari ini melancarkan Program USANITA bagi membantu usahawan wanita di luar bandar yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata platform khas itu disediakan bagi membantu usahawan wanita luar bandar khususnya golongan B40 agar selari dengan arus perniagaan semasa yang berasaskan digital.
“Sebelum ini, dalam usaha memperkasakan usahawan di luar bandar, Kementerian telah memperkenalkan program DesaMall@KPLB bagi membantu golongan berkenaan memasarkan produk secara atas talian.
“Inisiatif ini adalah strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi menerusi pernyataan dasar Membangun Produk dan Memperluas Pasaran Termasuk Pemasaran Perniagaan Dalam Talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB ibu negara hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun serta Pengarah Urusan V5, Datuk Mohd Syafiq Abdullah.
Mahdzir berkata, KPLB mengambil serius perkembangan dan pembangunan usahawan luar bandar khususnya dalam aspek pemasaran produk mereka secara atas talian yang kini menjadi saluran yang sangat berkesan.
Jelasnya, penjenamaan dan pemasaran secara digital bukan sahaja boleh dimanfaatkan di dalam negara, malah melangkau pasaran seluruh dunia yang mampu dicapai menerusi platform atas talian.
“Dalam fasa pemulihan kesan pandemik COVID-19 ini, sudah tiba masanya usahawan luar bandar bangkit semula dengan memperkasakan penjenamaan dan pendigitalan produk keluaran mereka sekali gus memulihkan ekonomi dan pendapatan mereka,” katanya.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Program USANITA ini, boleh hubungi talian 03-41313041 atau layari laman sesawang www.usanita.com.