8 DIS : Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempersiapkan anggota dan pegawainya untuk berdepan dengan peperangan konvensional kini dibayangi dengan ‘Peperangan Hybrid’ yang dilaksanakan untuk menyerang seni bina seluruh kerajaan berbanding keupayaan ketenteraan negara.
Sehubungan itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, anggota ATM akan dilengkapkan dengan pengetahuan menangani ancaman baharu ‘Peperangan Hybrid’ pada masa ini.
Menurut Affendi, peperangan siber juga akan mendominasi faktor yang sekali gus mampu mengubah ciri dan sifat konflik itu sendiri.
“Walaupun terdapat cabaran sedemikian, saya yakin dengan pengetahuan, pendedahan serta rangkaian yang diperoleh setiap graduan dalam Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) kita sudah bersedia untuk menghadapi ujian sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Graduasi dan Penyampaian Diploma KPSM Siri 50/2021, di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), hari ini.
Seramai 163 graduan berjaya menamatkan kursus mereka yang berlangsung sejak 4 Januari tahun lalu.
Graduan berkenan membabitkan pegawai tentera yang terpilih daripada Tentera Darat (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM).
Kursus berkenaan turut disertai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) serta pegawai tentera dari luar negara.
Dalam pada itu, Affendi berkata majlis berkenaan turut bermakna kerana ia diadakan sempena Jubli Emas 50 tahun penubuhan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).