8 DIS : Bersempena program 100 hari Aspirasi #KeluargaMalaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 80%, bermula esok hingga 12 Dis ini.
Menurut Polis Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Mat Kasim Karim, semua pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter polis di KLCC, kaunter bayaran saman trafik Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen, selain portal serta aplikasi MyBayar sepanjang tempoh empat hari tersebut.
“Bagaimanapun, tawaran pengurangan saman itu, tidak melibatkan kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan utama dilakukan, kesalahan kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mat Kasim berkata, orang ramai mahupun syarikat dan entiti perniagaan boleh mendaftar melalui portal rasmi polis atau pautan https://mybayar.rmp.gov.my/ atau memuat turun aplikasi di platform Google Play Store, Apple App Store dan Huawei Gallery, seterusnya boleh membuat pembayaran melalui aplikasi itu.
Beliau dalam masa sama, meminta orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan Covid-19 bagi yang berurusan di kaunter bayaran fizikal.