8 DIS: Mutiara Teknologi (M) Sdn Bhd (MTSB) menyasarkan RM10 juta transaksi dalam tempoh setahun menerusi perkhidmatan pearl2u, gerbang pembayaran digital patuh Syariah yang dilancarkan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MTSB, Abdul Hafidz Win, berkata beliau menyasarkan untuk mendaftarkan sehingga 10,000 pelanggan pearl2u seperti institusi keagamaan di setiap negeri termasuk masjid.
“Ketika ini pihak kami sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggunakan pearl2u sebagai gerbang pembayaran.
“Pelancaran aplikasi ini juga adalah sebagai tanda sokongan terhadap seruan kerajaan yang mahukan negara terus berkembang maju dalam digitalisasi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi pearl2u dan pearlnur di Bangi, hari ini.
Mengenai pearlnur, Abdul Hafidz berkata pihaknya menyasarkan 200,000 pengguna untuk memuat turun aplikasi itu sama ada di Apple AppStore atau Google Play Store.
“Pearlnur bakal menjadi aplikasi mudah alih pilihan yang akan mendigitalkan pengurusan kariah dengan menawarkan pelbagai manfaaf dengan pantas dan mesra pengguna.
“Ia disepadukan dengan pengurusan sistem untuk kariah seperti infaq, wakaf, pendanaan ramai dan modul aktiviti komuniti lain.
“Ia juga bertindak sebagai platform yang membolehkan komuniti Muslim di seluruh negara bekerjasama dan berinteraksi pada bila-bila masa,” katanya.