16 DIS: Seramai 10,548 pegawai dan anggota polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi awal di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 14 Disember ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata sebanyak 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran akan disediakan di pusat mengundi.
“Pusat mengundi adalah terdiri daripada dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan sekolah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di Batu Kawa, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya mendapati tidak ada lagi mana-mana pihak atau parti yang melakukan perkara bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Ada kawasan yang dibenarkan untuk berkempen secara fizikal dengan jumlah kehadiran individu dihadkan. Setakat ini, SOP berkenaan masih dipatuhi parti bertanding.
“Kami akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan SOP dipatuhi. Pada masa sama, kami meminta kerjasama calon bertanding supaya menasihatkan penyokong mereka supaya tidak melanggar SOP.
“Ini kerana tindakan akan diambil terhadap penganjur (parti bertanding) kerana gagal mengawal penyokong,” katanya.