8 DIS : Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan dakwaan wujudnya ketidaktelusan dalam pemilihan syarikat Ericsson sebagai kontraktor pembinaan rangkaian 5G di mana proses pemilihan yang dilakukan oleh Kementerian Kewangan (MOF) itu telah dilaksanakan melalui proses tender terbuka.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, proses tender 5G ini telah dimulakan pada bulan April lalu di mana penilaian telah dibuat terhadap 14 buah syarikat pembekal pelaksanaan rangkaian (NEP) yang dibuat melalui tender terbuka secara global.
Katanya lagi, syarikat-syarikat yang telah dipilih itu adalah syarikat antarabangsa yang dikenal pasti melalui tinjauan pasaran.
“Daripada senarai 14 syarikat tersebut sebanyak lapan buah syarikat NEP telah dijemput untuk mengemukakan Expression Of Interest (EOI) berdasarkan beberapa kriteria antaranya pengalaman melaksanakan rangkaian 5G dan syarikat tersebut mesti beroperasi di Malaysia.
“Daripada lapan syarikat tersebut, hanya empat buah syarikat NEP sahaja yang telah mengemukakan tawaran secara muktamad di dalam proses penilaian tender,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan sesi perbahasan jawatankuasa peringkat Kementerian Komunikasi Multimedia di Parlimen hari ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini meminta kerajaan mendedahkan syarikat mana yang diberikan tender untuk melaksanakan rangkaian 5G di negara ini dan meminta kerajaan bersikap telus dalam pemilihan tender bagi projek tersebut.
Ahli Parlimen Ketereh (UMNO) itu seterusnya menjelaskan, pada bulan Mei dan Jun 2021, penilaian telah dilakukan terhadap semua syarikat yang menyertai tender terbuka itu di mana 55 peratus penilaian diberikan kepada aspek teknikal, 30 peratus penilaian komersil dan 15 peratus pada penilaian sosio ekonomi yang telah ditetapkan untuk menentukan pembida yang berjaya.
“Ericsson telah mendapat penilaian tertinggi daripada ketiga-tiga kriteria tersebut. Dari segi teknikal, Ericsson telah mencadangkan rangkaian ramalan dan autonomy next generation yang kalis masa depan dengan fungsi keselamatan yang jitu.
“Dari segi komersil pula, syarikat itu telah menawarkan harga paling kompetitif manakala dari segi sosio ekonomi, Ericsson telah memberikan komitmen dalam program pembangunan sosio ekonomi paling berimpak melalui pelaburan-pelaburan yang dilakukannya.
“Jadi berdasarkan kriteria-kriteria tersebut, Ericsson telah dipilih melalui proses tender terbuka tersebut yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan. Jadi berdasarkan perkara ini, tidak ada apa-apa perkara yang dirahsiakan sepertimana yang didakwa oleh Ketua Pembangkang,” tegasnya.
Katanya lagi, dalam soal pelaksanaan rangkaian 5G, ia merupakan satu kepentingan nasional dan ia akan dilaksanakan secara telus untuk memastikan kejayaan pelaksanaan rangkaian tersebut di negara ini.
“Kita akan memastikan tidak berulang kelambatan proses pelaksanaan rangkaian sepertimana yang berlaku pada rangkaian 3G dan 4G yang memakan masa selama lapan tahun untuk mencapai 80 peratus liputan, di mana proses pelaksanaan rangkaian 5G kali ini mensasarkan selama tiga tahun untuk mencapai 30 peratus liputan di negara ini,” ujarnya.