9 DIS: Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah termasuk yang diwakili pembangkang akan diperuntukkan RM2 juta tahun depan.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada sesi penggulungan sidang DUN Sabah hari ini.
“Ya, setiap kawasan akan mendapat RM2 juta tetapi kita akan cari mekanisme bagaimana untuk mengagihkan dana kepada pembangkang,” katanya ketika ucapan penggulungan pada sidang DUN.
“Kami faham di setiap kawasan memang ada keperluan, jadi kita akan cari jalan macam mana,” katanya.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri membuat pengumuman itu selepas ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dan wakil Tungku, Assaffal Alian bertanya jika bantuan itu akan diberi kepada pembangkang.
Hajiji berharap ADUN akan menggunakan peruntukan itu dengan sebaiknya bagi membantu rakyat atau menangani isu di kawasan masing-masing.