9 DIS: Datuk Ali Biju hari ini membuat keputusan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Beliau yang merupakan calon BEBAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian mengumumkan keputusan itu dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Ali, beliau menawarkan diri sebagai calon DUN Krian setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat serta pengundi di kawasan tersebut.
“Sebagai wakil rakyat yang dipilih sejak 2011, dukungan dan sokongan yang padu ini telah memperkukuh tekad saya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok,” katanya.
Tindakannya itu dipercayai demi menjaga hubungan baik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung persefahaman politik nasional yang disepakati antara PN dan GPS.
“Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS,” ujar beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau secara rasmi menarik diri sebagai calon DUN Krian dan memberi sokongan penuh kepada calon GPS, Friday Belik.