9 DIS: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan UMNO dan parti itu tidak akan lengkap tanpa kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Beliau berkata, selain itu tanpa kerjasama berkenaan, ia tidak dapat mencapai tujuan asal perpaduan bangsa dan agama.
“Ini kerana Melayu dan Islam bukan sahaja melibatkan parti UMNO dan PAS, malah BERSATU juga merupakan parti besar.
“Hari ini kita di Malaysia berjaya menyatukan umat melalui pendekatan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). Permulaannya dengan perpaduan Islam dan Melayu serta bumiputera dengan gagasan MN.
“Seterusnya mengumpulkan tiga buah parti Melayu terbesar bersama rakan-rakan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyempurnakan usaha menukar kerajaan secara demokrasi berparlimen,” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas yang dikongsi di Facebook beliau pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, keanggotaan MN tidak terhad kepada UMNO, PAS dan BERSATU sahaja kerana Malaysia bukan hanya merangkumi kelompok Melayu dan Islam.
Justeru, katanya, bergerak ke arah penyelesaian masyarakat majmuk, maka mestilah diikuti oleh penyertaan daripada kalangan parti bukan Melayu dan bukan Islam dengan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).