9 DIS : Sebanyak RM4.21 bilion bagi Belanjawan Negeri 2022 telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini selepas ianya dibahas selama empat hari sejak Isnin lalu.
Menurut Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan negeri, Datuk Hajiji Noor, pihaknya akan memberikan peruntukan tambahan untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM2 juta.
Selain itu, berhubung Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) Kerajaan negeri dan PETRONAS pada hari 7 Disember lalu, satu jawatankuasa khas yang diketuai Menteri Kewangan II negeri telah ditubuhkan bagi meneruskan rundingan dengan kerajaan Persekutuan berkaitan Pemberian Khas Negeri Sabah sepertimana hak negeri yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Melalui CCA, Sabah akan mendapatkan perkongsian hasil berkaitan minyak dan gas yang lebih besar, penyertaan dan penguasaan yang lebih besar dalam hal-hal minyak dan gas di bawah satu rangka kerja perundingan komersial bersama PETRONAS.
“Kerajaan negeri ditawarkan untuk menyertai Projek LNG melalui kepentingan saham hingga 25 peratus pada kos dan tanpa premium dalam anak-anak syarikat PETRONAS,”ujarnya ketika menggulung perbahasan belanjawan.
Selain itu, DUN Sabah turut meluluskan usul melantik Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah, Noraini Idris sebagai ahli Dewan Negara yang baharu bermula esok. Pelantikan Noraini bagi menggantikan Datuk Donald Peter Mojuntin yang akan tamat tempoh perkhidmatan sebagai Senator, hari ini