9 DIS: Kematian dalam kalangan populasi yang tidak divaksin akibat COVID-19 adalah 20 kali ganda lebih tinggi berbanding yang telah divaksinasi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, trend kematian COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan penurunan dengan liputan vaksinasi yang meluas.
“Data kami menunjukkan kematian dalam kalangan yang tidak divaksinasi dan sebahagiannya divaksinasi adalah 3,200 orang/kematian bagi setiap satu juta penduduk.
“Bagi individu yang telah lengkap divaksin adalah 160 orang/kematian bagi satu juta penduduk dan kematian bagi mereka yang telah mendapat dos penggalak adalah empat orang/kematian bagi setiap satu juta penduduk,” katanya menerusi Twitternya.
Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan data Kematian COVID-19 Kebangsaan dari 1 Januari hingga 4 Disember 2021, jumlah kematian tertinggi diumumkan pada 11 September dengan 592 kes.
“Jumlah kematian tertinggi di luar fasiliti hospital (BID) adalah pada 13 September dengan 176 kes. Data itu berdasarkan jumlah laporan kematian yang diterima setiap hari,” katanya.
Katanya, setakat ini bagi tahun 2021 sejumlah 24,014 individu meninggal dunia di hospital dan 6,046 kes BID.