9 DIS: Kerajaan memutuskan Kementerian Pengangkutan akan bertanggungjawab menguruskan rundingan dan hala tuju projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejak tahun 2013 kesemua rundingan projek HSR diketuai oleh Menteri di JPM (Ekomoni) sebelum diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
“Pada pertengahan tahun lalu, Jemaah menteri telah memutuskan saya mengetuai rundingan untuk memuktamadkan projek ini dengan singapura.
“Pada masa ini, kerajaan dalam proses memindahkan syarikat MYHSR, syarikat bertujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal-hal teknikal mengenai projek HSR daripada pengawasan JPM kepada Kementerian Pengangkutan.
“Kesemua perbincangan dan rundingan hala tuju projek ini seterusnya akan diambil dan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang bertanya sama ada projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru akan dibatalkan untuk diganti dengan cadangan memulihkan HSR KL-Singapura dan berapa anggaran kos kedua-dua projek serta harga asalnya sebanyak RM100 bilion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.
Menjelaskan perkara tersebut, Mustapa berkata, projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru terbatal pada 31 Disember 2020 dan selepas itu satu Kajian Daya Maju Liabitiliti Projek HSR Kuala Lumpur Iskandar Puteri telah diadakan.
Tambahnya, kajian tersebut yang bermula Februari lalu telah selesai dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sedikit masa lagi bagi menentukan hala tuju projek berkenaan.
Bagi kos projek pula katanya, rundingan bagi menghidupkan projek HSR Kuala Lumpur- Singapura masih di peringkat awal dan kos projek dikurangkan adalah tidak berbangkit ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, bagi model HSR 2.0 baharu kos projek adalah jauh lebih rendah.
Menjawab soalan tambahan Guan Eng berkaitan mengapa projek tersebut tidak dibatalkan sahaja, Mustapa berkata, kerajaan berpendapat projek berkenaan adalah penting dalam hubungan Malaysia dan Singapura.
Menjelaskan pemansuhan Asset Co iaitu sebuah syarikat dimiliki pihak swasta dikawal selia bersama oleh Malaysia dan Singapura akan menyebabkan tender tidak dibuat secara terbuka, beliau menafikan perkara tersebut.
“Pemansuhan AssetCo tidak semestikan projek ini mesti dilaksanakan secara rundingan terus, ia hanya tohmahan semata-mata dan andaian yang tidak betul,” katanya.