9 DIS : Sekurang-kurangnya sebanyak 14 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Menurut Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, ia merupakan jumlah terkumpul sejak 1 hingga 8 Disember lalu.
“Selain fitnah, kertas siasatan itu juga merangkumi serangan peribadi serta merosakkan poster atau bendera parti lawan,” katanya sepertimana yang dilaporkan Sinar Harian.
Alexson yang juga jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRN Sarawak berkata, setakat ini sebanyak 524 permohonan permit untuk berkempen telah diluluskan sejak hari penamaan calon lalu.
Sehubungan itu, Alexson berharap semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Sejak hari penamaan calon hingga ke hari ini semuanya masih dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang masalah tidak diingini berlaku.
“Bagaimanapun, sebarang pelanggaran SOP akan dikenakan kompaun di bawah Peraturan 10 Akta 342 (Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit),” katanya.