10 DIS: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) , Tan Sri Abang Johari Abang Openg menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tidak memberikan saingan sengit kepada parti itu biarpun lebih 300 calon bersaing.
Beliau berkata semua pihak berhak bertanding namun rakyat akan menjadi penentu kepada kemenangan terbabit.
“Pada saya tidak (menggambarkan saingan sengit) sebab di Sarawak memang ada banyak parti politik yang tumbuh seperti cendawan.
“Kita mengamalkan demokrasi dan kalau mereka nak bertanding, silakannya kerana kita tidak boleh menghalang mereka daripada bertanding,” katanya dalam program temu bual yang disiarkan secara maya.
GPS katanya, akur dengan jumlah calon bertanding yang lebih ramai berbanding PRN Sarawak pada 2016.
“Memang begitu keadaannya. Kita terpaksa akur dan terpulang kepada rakyat untuk menilai dan melihat rekod pencapaian (parti bertanding),” katanya.
Ditanya mengenai keyakinannya pada pilihan raya negeri kali ini, Ketua Menteri Sarawak itu berkata, GPS tidak memandang ringan setiap pertandingan.
“Kita akan terus bekerja dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi serta rekod kita. Soal keyakinan, Insya-Allah tetapi kita tidak boleh mengambil ringan,” katanya.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata seramai 349 calon mewakili pelbagai parti termasuk BEBAS disahkan bertanding bagi merebut 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).