13 DIS: Kementerian Pendidikan (KPM) bakal memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera bagi menangani isu buli di sekolah.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, konsep berkenaan mempunyai 14 elemen penting yang menerapkan nilai-nilai murni di dalam kelas.
“Kami berada di peringkat akhir untuk sesi libat urus untuk memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera.
“Ia bukanlah satu mata pelajaran baharu tetapi penerapan nilai-nilai murni sejak di peringkat awal persekolahan,” katanya pada sesi Penggulungan KPM Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) dan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) berkaitan isu kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah termasuk berkaitan buli.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, antara punca buli di sekolah termasuklah anak-anak tidak dapat berfikir secara rasional dan merasakan mereka dalam kelompok yang ramai serta boleh membuli sahabat yang lain.
Justeru, katanya, KPM akan memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera dengan guru-guru akan menerapkan nilai-nilai murni secara tidak langsung di dalam kelas.
“Kita tidak terapkan mata pelajaran baharu kerana mahu penerapan nilai-nilai murni ini dibuat secara alami susulan anak-anak tidak didedahkan di peringkat awal untuk berfikir secara rasional dan kesan perbuatan itu terhadap diri, masa depan dan rakan-rakannya adalah amat besar,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas berkaitan peruntukan program Bantuan Awal Persekolahan masih sama meskipun jumlah bantuan dinaikkan dari RM100 ke RM150 yang turut dibangkitkan Mohd Salim dan beberapa ahli Parlimen lain, Radzi berkata kerajaan sebenarnya telah membuat tambahan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi tujuan tersebut.
Menyentuh tentang pendidikan awal kanak-kanak yang dibangkitkan oleh Teo Nie Ching (PH-Kulai), Radzi berkata, KPM akan menetapkan satu kerangka yang menyeluruh supaya semua institusi yang mempunyai khidmat penjagaan kanak-kanak boleh mengikuti panduan berkenaan.
“Pada waktu ini, pendidikan awal kanak-kanak khususnya di peringkat nurseri iaitu berumur empat tahun ke bawah dikendalikan oleh banyak kementerian.
‘”KPM telah diberi tanggungjawab untuk membuat penyelarasan dan pihak jawatankuasa teknikal yang diketuai oleh Ketua Setiausaha KPM telah mengadakan mesyuarat untuk menetapkan term of reference termasuk mengambil kira perundangan dalam konteks penjagaan awal kanak-kanak,” jelasnya.