13 DIS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bertindak memasang perangkap bagi menangkap dua ekor harimau belang yang berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai, Gua Musang semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, perangkap dikenali sebagai ‘Perangkap Wahab’ dibuat ekoran aduan berkaitan harimau berkenaan daripada penduduk menerusi WhatsApp.
“Tindakan segera ini diambil selepas mendapati terdapat sumber makanan yang mudah untuk kedua-dua ekor harimau tersebut bertindak.
“Perhilitan Kelantan menggunakan kambing hidup sebagai umpan bagi menarik perhatian harimau belang itu untuk masuk ke dalam perangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Hafid berkata, pihaknya telah turun ke lokasi untuk membuat siasatan dan memasang perangkap kamera di lokasi kejadian Sabtu lalu.
Selain itu, katanya, bagi memastikan keselamatan terjamin, penduduk juga diminta untuk berpindah sementara ke kampung berhampiran iaitu Kampung Tendrik, Pos Bihai.
“Akses masuk ke kampung berkenaan juga telah ditutup sementara bagi membolehkan operasi tangkapan ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Tindakan pantas yang kami lakukan ini diharap dapat memberikan kelegaan kepada tujuh keluarga yang menetap di perkampungan orang asli berkenaan,” katanya.