13 DIS : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung sebuah filem tempatan berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dipercayai bakal ditayang kepada umum tidak lama lagi.
YADIM melalui satu kenyataan di Facebook rasminya, memaklumkan aduan tersebut dibuat susulan klip filem berjudul Stay Away From Me yang tular dalam media sosial baru-baru ini. Aduan tersebut disampaikan kepada Unit Aduan Pengguna SKMM oleh pegawai YADIM.
Terdahulu, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan dipetik sebagai berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada SKMM mengenai sebuah siri filem dalam bentuk kandungan digital yang dikatakan berunsur LGBT.
Nasruddin menggesa SKMM agar memantau serta mengambil tindakan terhadap sebarang kandungan digital atau cetak yang berunsurkan LGBT.
Media turut melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah merujuk isu babak romantik dua lelaki dalam sebuah siri drama tempatan kepada SKMM dan tindakan itu dibuat susulan arahan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.