MAHB tawar tender terbuka untuk 226 lot komersil
14 DIS : Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menawarkan tender terbuka untuk 226 lot komersial di lapangan terbang di bawah pengurusannya seluruh negara disebabkan peningkatan kembali pergerakan trafik udara selepas kerajaan memberi kelonggaran dalam sekatan perjalanan udara.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata menerusi satu kenyataan hari ini, lapangan terbang MAHB di seluruh negara ketika ini mempunyai 808 lot komersial dengan 70 peratus daripadanya telah ditender.
Dalam usaha menetapkan semula inisiatif komersial MAHB, beliau menjelaskan tender untuk 226 lot komersial ini adalah fasa akhir bagi menarik peserta domestik dan antarabangsa mengambil bahagian dalam menawarkan jenama baharu di lapangan terbang seluruh negara.
Katanya, matlamat utama MAHB adalah untuk meningkatkan tawaran runcit dan menyediakan pengalaman perjalanan yang unik.
“Sebelum COVID-19, segmen bukan aeronautik merangkumi separuh daripada jumlah pendapatan Kumpulan. Pada 2019, 47 peratus daripada pendapatan disumbangkan oleh segmen ini yang merangkumi perniagaan komersial dan runcit.
“Inisiatif memulihkan komersial telah dikenal pasti sebagai misi kritikal, dan pelaksanaannya diteruskan walaupun terdapat impak pandemik kepada prestasi kewangan kumpulan,” katanya.
Iskandar berkata, ini adalah komitmen MAHB dalam memastikan dapat memberi pengalaman runcit baharu yang menarik kepada pelanggan.
Beliau berkata, kumpulan mengalu-alukan penyertaan jenama tempatan dan antarabangsa membantu MAHB merealisasikan objektif tetapan semula komersialnya.