14 DIS : Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan agar takrif Hari Merdeka dalam Perlembagaan Persekutuan digantikan dengan takrif Hari Malaysia.
Menurut beliau, jika takrif Hari Malaysia sudah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, maka takrif Hari Merdeka ini patut digugurkan kerana ia menyebabkan ada dua pemikiran.
“Jadi bagi saya sebenarnya, kalau kita sudah masuk Hari Malaysia sebagai 16 September 1963, saya kira hari Merdeka dalam takrif Perlembagaan Persekutuan mesti digugurkan. Kerana ia menyebabkan akan ada dua pemikiran. Satu Hari Merdeka dan satu Hari Malaysia.
“Kalau betul mahu dimaksudkan kita sebagai sebuah negara, kita gugurkanlah Hari Merdeka itu. Pada saya ia perlu digugurkan, kerana inilah masalahnya, bila sebut Hari Malaysia, hanya Sabah dan Sarawak yang meraikan. Sebab apa? Sebab ada masih ada hari Merdeka di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi pada saya, Hari Merdeka sepatutnya digantikan dengan Hari Malaysia. Kerana sekarang ini adalah Perlembagaan Malaysia dan bukan lagi Perlembagaan Malaya. Kita kena hentikan sentimen berkenaan Semenanjung dan Sabah, Sarawak,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi, beliau merasa agak malu kerana setelah bertahun penubuhan Malaysia pada tahun 1963, kerajaan tidak melihat kepada takrif ini.
“Jika ikut Perlembagaan Malaysia hari ini, takrif persekutuan ertinya persekutuan yang ditubuhkan di bawah perjanjian persekutuan Tanah Melayu 1957. Tetapi sekarang ini Perlembagaan Malaysia.
“Takrif persekutuan hari ini, mengganti takrif lama, tetapi di dalam pindaan 160 perlembagaan persekutuan, kita memasukkan selepas takrif hak pencen ialah takrif yang berikut; iaitu Hari Malaysia. Ertinya pada 16 September 1963.
“Di sini saya ingin tanya, Hari Malaysia dimasukkan dalam takrif persekutuan, tetapi takrif hari Merdeka masih dikekalkan. Kita kekalkan takrif Hari Merdeka ini tetapi hari Merdeka tidak mempunyai makna bagi Persekutuan Malaysia.
“Jadi bagi saya sebenarnya, kalau kita sudah masuk Hari Malaysia sebagai 16 September 1963, saya kira Hari Merdeka dalam takrif Perlembagaan Persekutuan mesti digugurkan,” ujarnya.
Nazri turut mengucapkan tahniah kepada kepada Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar kerana membangkitkan perkara ini, yang menurutnya amat tepat dan sesuatu yang sepatutnya dilakukan.
“Dan sekarang ini kita perlu sebut takrif persekutuan ialah merangkumi Sabah dan Sarawak dan juga menyatakan bahawa Singapura telah berpisah dengan kita,” ujarnya.