14 DIS : Pindaan rang undang-undang Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lulus dengan sokongan majoriti 2/3 Ahli Parlimen dalam undian belah bahagian yang dibuat di hadapan Speaker Dewan Rakyat,Tan Sri Azhar Azizan Harun di Parlimen hari ini.
Azhar mengumumkan perkara tersebut setelah mendapat keputusan muktamad berhubung jumlah undi Ahli Parlimen yang menyokong pindaan tersebut diperolehi.
“Ahli-ahli yang bersetuju dalam undi belah bahagian yang dijalankan sebentar tadi ialah sebanyak 200 orang, tiada yang tidak bersetuju, manakala yang tidak hadir pula ialah 20 Ahli Parlimen.
‘Maka dengan itu, undi belah bahagian ini mendapat undi majoriti 2/3 seperti yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan, maka rang undang-undang ini dibaca untuk kali kedua sekarang,” ujarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya bangun memohon mencadangkan rang undang-undang meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan dimaklumkan kepada Dewan Rakyat dan dibaca kali ketiga dan diluluskan.