Tiada keperluan penarafan semula kerahsiaan laporan JKKKMA63
14 DIS : Kerajaan kekal dengan pendirian bahawa tiada keperluan untuk membuat penarafan semula berhubung kerahsiaan Laporan Jawatankuasa Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKKKMA63) buat masa ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, status kerahsiaan dokumen dan keputusan-keputusan Jawatankuasa Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKKKMA63) adalah ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada masa pentadbiran mereka.
“Dari sudut pelaksanaan pula, memandangkan keputusan-keputusan yang telah dicapai oleh Jawatankuasa Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKKKMA63) hanya merupakan persetujuan dasar, perkara-perkara tersebut masih memerlukan tindakan lanjut sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Justeru itu, Kerajaan Persekutuan wajar diberikan ruang untuk meneruskan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berhubung pelaksanaan perkara-perkara yang berkaitan. Sebarang kemajuan yang dicapai akan diumumkan oleh Kerajaan dari masa ke semasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH) ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, ketika menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN) berhubung pindaan tidak dimasukkan tanpa menunggu perbincangan di bawah Dewan Undangan Negeri dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) terlebih dahulu, Wan Junadi berkata, pindaan kepada Perkara 1(2) dan 160(2) telah selesai dibincangkan di bawah Jawatankuasa Khas bersama-sama dengan pihak pemegang taruh.
Pemegang taruh tersebut menurut beliau ialah Jabatan Peguam negara, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak yang diwujudkan di bawah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu.
“Oleh yang demikian, adalah tidak benar dakwaan bahawa pindaan ini dikemukakan sebelum perkara ini selesai dibincangkan.
“Cadangan draf RUU ini telah dibincangkan dan telah mendapat persetujuan sebulat suara di dalam mesyuarat Majlis Khas MA63 Kali Ke-3 yang telah diadakan pada 18 Oktober 2021 yang lalu,” katanya.