15 DIS : Pihak berkuasa mengesahkan kesemua pendatang tanpa izin yang menjadi mangsa tragedi bot karam awal pagi di Tanjung Balau berjumlah 50 orang di mana 11 daripadanya maut dalam kejadian tersebut.
Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa, sehingga pukul 3 petang, seramai 11 mangsa telah ditemui terdiri daripada tujuh lelaki dan empat orang wanita.
“Manakala, jumlah mangsa terselamat pula adalah seramai 14 orang iaitu 12 lelaki dan dua perempuan yang kini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor.
“Bot yang membawa kira-kira 50 orang PATI itu karam ekoran cuaca buruk di kawasan tersebut.
“Manakala, 25 lagi individu yang menaiki bot berkenaan masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat sedang dipergiat diperairan terbabit bagi mengesan mangsa,” jelasnya dalam sidang media hari ini.
Katanya lagi, operasi cari lamat telah diaktifkan pada pukul 8.50 pagi tadi dengan penglibatan sebuah pesawat APMM, sebuah kapal dan beberapa bot dari agensi sahabat yang terlibat.
Dalam usaha mencari mangsa, agensi yang bekerjasama dalam operasi ini ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pemeriksaan pihak berkuasa mendapati, bot pancung dengan empat enjin yang membawa kesemua PATI itu dipercayai menyeludup masuk ke perairan negara secara haram dan siasatan lebih mendalam akan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada tekong bot berkenaan turut terkorban atau berjaya melarikan diri.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa bot berkenaan berlabuh dari perairan Batam, Indonesia susulan kekuatan bot yang hanya mampu belayar dalam jarak dekat