Diskaun saman JPJ dilanjutkan hingga 31 Disember
15 DIS : Tawaran pengurangan bayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua notis saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang boleh dikompaun dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
JPJ menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan bersetuju melanjutkan tempoh dibuat susulan sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai sempena dengan Acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berakhir 12 Disember lalu.
Menurut kenyataan itu, tawaran itu bagaimanapun tidak terpakai bagi kes-kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap dan perbicaraan.
“Bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah dikehendaki hadir sendiri ke kaunter JPJ, bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum menikmati diskaun saman yang diberikan.
“Kemudahan pembayaran saman ini adalah melibatkan semua Kaunter di Pejabat JPJ seluruh negara termasuk kios, Mobile JPJ, dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).
“Urusan transaksi tersebut boleh dilakukan bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang (termasuk hujung minggu) manakala bagi UTC, waktu pengoperasian adalah tertakluk kepada arahan MOF,” katanya.
Katanya, transaksi pembayaran juga boleh dilakukan secara dalam talian (online) melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/).
Katanya lagi, pelanjutan tempoh ini diharap dapat memberi lebih banyak peluang dan kemudahan kepada Keluarga Malaysia untuk menikmati tawaran pengurangan pembayaran saman yang lebih panjang tanpa perlu mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.
Dalam pada itu, JPJ memaklumkan, pihaknya mengutip RM4,126,938 melalui 81,146 transaksi urus niaga pembayaran saman bermula 9 hingga 13 Disember lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 68,953 transaksi melibatkan saluran kaunter dan Mobile JPJ manakala selebihnya iaitu melibatkan 1,080 transaksi (kios) dan 11,113 transaksi (online),” katanya.