15 DIS : Tindakan seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di lapangan terbang sempadan Colombia dan Venezuela hari ini meragut nyawa dua pegawai polis selain kerosakan teruk di lapangan terbang tersebut.
Penyerang itu dikatakan melompat ke dalam pagar di kawasan landasan di lapangan terbang antarabangsa Cucuta sebelum meletup bahan letupan yang dibawa bersamanya.
Menurut Ketua Pasukan Polis Cucuta, Kolonel Giovanni Madarriaga, mengesahkan dua anggota polis berkenaan, David Reyes, 38, dan William Bareno, 42 terbunuh dalam kejadian tersebut dan pakar bahan letupan yang meninjau kawasan itu menjumpai beg pakaian, yang turut meletup.
Katanya, pihak polis masih belum dapat mengesahkan sama ada bahan letupan yang dibawa oleh penyerang yang tidak dikenali itu meledak sebelum waktunya atau serangan itu adalah serangan pengeboman berani mati.
Manakala Menteri Pertahanan Colombia, Diego Molano berkata insiden itu mirip serangan oleh kumpulan pemberontak Tentera Pembebasan Nasional (ELN), yang menolak perjanjian damai 2016 dengan organisasi gerila yang lebih berpengaruh, Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC).
Polis dan anggota keselamatan mengepung lapangan terbang itu, yang menggantung semua penerbangan selama tujuh jam.