15 DIS : ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abd Hamim Abd Hamid, seorang lelaki Myanmar melarikan diri dengan meloloskan dirinya daripada lokap Mahkamah Majistret hari ini.
Justeru itu, pihak polis meminta orang ramai tampil membantu untuk mengesan lelaki tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, polis sudah pun melancarkan Ops Tutup di sekitar daerah ini dalam usaha mengesan suspek yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari.
“Polis menerima laporan pada 11.55 pagi hari ini memaklumkan seorang lelaki melarikan diri dari lokap dengan keadaan tangan bergari, memakai baju T, berseluar panjang dan memakai selipar.
“Usaha mengesan suspek masih dijalankan polis serta khidmat anjing pengesan K9 turut digunakan selain sekatan jalan raya (SJR),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki terbabit melarikan diri melalui pintu utama mahkamah serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran walaupun usaha mengesannya sudah dilakukan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan. Kami tidak akan berkompromi serta bertindak tegas terhadap mana-mana pihak termasuk anggota polis jika siasatan mendapati terdapat unsur kecuaian. Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222, Hotline IPD Tangkak, 06-9785222 atau mana-mana IPD.