15 DIS: Digital Nasional Berhad (DNB) menganggarkan kos keseluruhan bagi pelaksanaan rangkaian dan perkakasan 5G negara berjumlah 12.5 bilion.
Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata, jumlah tersebut selepas mengambil kira menjangkakan RM1.5 bilion lagi bagi gentian telekomunikasi tambahan selama 10 tahun daripada Telekom Malaysia (TM).
“Ia disebabkan infrastruktur gentian telekomunikasi dalam negara yang berada pada tahap lebih rendah daripada dijangkakan.
“Oleh itu, kos keseluruhan bagi perkakasan dan infrastruktur rangkaian liputan 5G negara dianggarkan berjumlah RM12.5 bilion,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Datuk Dr. Xavier Jayakumar Arulanandram (BEBAS-Kuala Langat) berkaitan pembekal-pembekal, kontraktor serta syarikat-syarikat yang terlibat dalam implementasi teknologi 5G dan kos keseluruhan untuk peralihan teknologi tersebut.
Menurut Yamani Hafez sebelum ini, anggaran awal kos Rangkaian Liputan 5G adalah berjumlah RM11 bilion.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, RM4 bilion adalah bagi perkakasan rangkaian dan perkhidmatan diuruskan selama 10 tahun oleh Ericsson, RM6 bilion adalah bagi kos infrastruktur rangkaian daripada pembekal lain, iaitu bagi menara, gentian telekomunikasi, tenaga elektrik dan kos-kos lain.
Selain itu, katanya RM1 bilion lagi adalah bagi bayaran fi Penguntukan Radas kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Tambahnya, selain Ericsson yang telah dilantik sebagai Pembekal Perkakasan Rangkaian, para pembekal, kontraktor serta syarikat yang akan terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G terdiri daripada pemilik tapak, pemilik gentian telekomunikasi serta pembekal tenaga elektrik.
“Bagi pelaksanaan di bawah Fasa 1A pada tahun 2021, pihak DNB sedang melaksanakan rundingan untuk melantik pembekal, kontraktor dan syarikat,” katanya.