15 DIS: Seramai 290 mangsa berusia bawah 18 tahun terlibat dengan seks luar tabii di negara ini dari tahun 2019 hingga November lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata statistik tersebut adalah berdasarkan sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menyatakan sebanyak 208 kes membabitkan mangsa berumur bawah 16 tahun manakala 16 hingga 18 tahun seramai 82 orang dengan jumlah keseluruhan 290 orang.
“Daripada 290 orang itu, pecahan mengikut jantina ialah lelaki seramai 114 orang manakala 176 perempuan,” katanya pada sesi jawaban lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Bin Mohd Ramli (PAS- Dungun) berkaitan statistik yang melibatkan seks luar tabii dalam kalangan kanak-akan ataupun remaja di negara ini.
Siti Zailah berkata, dalam tempoh tersebut pecahan statistik mengikut negeri bagi mangsa berusia 18 tahun ialah Perlis empat kes, Kedah (3), Pulau Pinang (12), Perak (16), Selangor (94), Kuala Lumpur (39), Negeri Sembilan dan Melaka (8), Johor (37), Pahang (16), Terengganu (9), Kelantan (6), Sabah (18) dan Sarawak (17).