15 DIS : Seorang pembantu tadbir sebuah hospital awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan berhubung salah guna kedudukan membabitkan pembekalan kelengkapan hospital dianggarkan bernilai RM300,000.
Menurut sumber, suspek perempuan yang berusia 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 2.50 petang hari ini, selepas hadir memberi keterangan.
Suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya dengan terbabit dalam keputusan memilih syarikatnya sendiri bagi kerja pembekalan kelengkapan kakitangan sebuah hospital universiti awam berjumlah lebih RM300,000 dari tahun 2017 sehingga 2020.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan bahawa suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok bagi pertuduhan.