16 DIS : Dua lagi individu yang juga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya ditahan pihak polis selepas disyaki terbabit dalam kes samun RM700,000 di sebuah kediaman di Jalan Ampang, di sini, pada Jumaat lalu.
Tangkapan terbaharu dua suspek berusia 37 dan 39 tahun itu menjadikan keseluruhan tiga pegawai suruhanjaya berkenaan ditahan berhubung kes samun ke atas seorang pemilik agensi pelancongan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman terhadap dua pegawai tersebut yang kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, dengan dibantu pihak SPRM.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan secara berkumpulan dan kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini.
“Justeru, kita meminta orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil,” katanya kepada BH hari ini.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat sebaik siasatan dilengkapkan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai SPRM berusia 31 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian rompakan selepas dikesan melalui kenderaan yang digunakan olehnya.