16 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membina separuh daripada rumah baharu bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dari tahun 2019 hingga 2021, KPLB membina keseluruhan sebanyak 3,803 unit rumah baharu PPRT dengan 50.3 peratus atau 1,918 unit dibina menggunakan kaedah IBS.
“Bagi tahun 2022 sebanyak RM361.1 juta diperuntukan untuk membina 2,400 rumah baharu dan 11,450 unit lagi untuk baik pulih PPRT.
“PPRT merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk rakyat mendiami rumah yang lebih selesa dan selamat khususnya kepada golongan sasar iaitu miskin dan miskin tegar di luar bandar,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof (BERSATU-Alor Gajah) berkaitan dasar Kerajaan untuk membangunkan PPRT menggunakan IBS.
Mahdzir berkata, pelaksanaan bina baharu PPRT menggunakan kaedah IBS dimulakan sejak 2019 bertujuan untuk penjimatan kos dan masa pembinaan.
Ia juga katanya, menyahut seruan kerajaan bagi meningkatkan industri binaan dengan tumpuan terhadap kaedah IBS ke arah negara maju dan pembinaan lestari.
Bagaimanapun, tambahnya KPLB memberi pilihan kepada kontraktor untuk menggunakan kaedah konvensional atau IBS.
Menjawab soalan tambahan Mohd Redzuan untuk mempercepatkan pembinaan rumah PPRT, Mahdzir berkata, bagi tujuan itu pihaknya telah ada senarai nama penerima bagi tahun depan.
“Bantuan segera bina rumah baharu bagi 2022 sudah ada senarai nama yang diperoleh daripada pejabat daerah, e-Kasih dan juga senarai nama daripada wakil rakyat,” katanya.