17 DIS: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengingatkan semua rakyat Sarawak supaya tidak menggadaikan masa depan dengan memilih parti yang lemah ketika keluar mengundi esok.
Beliau mengingatkan, rakyat perlu mengambil iktibar kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu bertahan 22 bulan kerana lemah dan tidak stabil.
Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata masa depan rakyat bergantung kepada kerajaan yang kuat, stabil dan komited untuk mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak.
“GPS yang berpengalaman, cekap, disegani, berintegriti tinggi dan mempunyai rekod prestasi cemerlang akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.
“Janganlah membuat kesilapan, kita mesti terus memperjuangkan perpaduan, keharmonian, autonomi dan kemakmuran Sarawak.
“Kami, pasukan GPS komited untuk meneruskan perjuangan dan usaha demi kecemerlangan Sarawak. Berilah peluang kepada GPS untuk terus berjuang demi kecemerlangan Sarawak untuk kemakmuran kita semua,” katanya dalam Seruan Kepada Semua Pengundi di Sarawak, hari ini.
Esok, seramai 1,213,769 pengundi biasa akan terlibat memilih 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk semula kerajaan negeri.
Sementara itu, Abang Johari memberi jaminan akan meneruskan usaha bagi memastikan keselamatan awam, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi untuk negeri ini sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12).
Beliau sehubungan itu menyeru semua pengundi membuat pilihan terbaik untuk diri sendiri, keluarga, komuniti dan Sarawak.
“GPS akan meneruskan agenda pembangunan sosio ekonomi bagi meujudkan sumber kekayaan baharu, menjana lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk belia dan generasi akan datang.
“Kami akan memastikan kemakmuran Sarawak yang berterusan supaya rakyat dapat menikmati manfaat pertumbuhan dan pembangunan ekonomi terancang, holistik dan inklusif,” katanya.